Monday, December 28, 2009

MARI HIDUPKAN SUNNAH

KEPENTINGAN MENGHIDUPKAN SUNNAH RASULULLAH S.A.W

Antara hal terpenting yang perlu diperhatikan oleh seseorang muslim dalam kehidupan sehariannya ialah mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w dalam seluruh gerak-gerinya, pertuturannya, perbuatannya sehingga hidupnya betul-betul berdasarkan sunnah Rasul secara total dari pagi hingga ke petang.

Dzun An-Nuun Al-Masri menegaskan antara ciri cinta dan kasih kepada Allah s.w.t adalah mengikut jejak kekasihNya Rasulullah s.a.w daripada segi akhlaknya, perbuatan, perintah, dan sunnah-sunnahnya. Firman Allah s.w.t ;


قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ


Maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. ( Ali-Imran : 31)


Imam Al-Hassan Al-Bashri pula berkata " Tanda cinta mereka terhadap Allah s.w.t adalah dengan mengikut sunnah RasulNya"


Darjat seseorang muslim itu juga diukur dengan melihat setakat mana ittibaa'nya kepada Rasulullah s.a.w. Semakin banyak dia menerapkan sunnah Rasulullah dalam hidupnya semakin tinggi dan mulia kedudukannya di sisi Allah s.w.t.


Orang yang sentiasa istiqamah mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w dijanjikan kelebihan berikut ;

  1. Dicintai Allah s.w.t
  2. Menutup kekurangan-kekurangan yang terdapat pada ibadah-ibadah wajib yang dilakukan seperti solat dan puasa.
  3. Sentiasa dipelihara Allah daripada melakukan perkara bid'ah.
  4. Mengamalkan sunnah termasuk dalam kategori mengagungkan syiar islam dan pastinya akan diberikan ganjaran yang besar di dunia dan di akhirat.